“Saya diperangkap” – Rizalman

Home / Terkini / “Saya diperangkap” – Rizalman

KUALA LUMPUR – Datuk Rizalman Mokhtar mendakwa wujud unsur sabotaj berikutan penahanannya di sebuh kelab malam di Jalan Imbi baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Tun Razak itu berkata, kejadian tersebut seakan dirancang oleh pihak-pihak tertentu dengan niat untuk menjatuhkan reputasinya sebagai pemimpin UMNO di Bandar Tun Razak.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam penyalahgunaan dadah seperti mana yang dilaporkan.

“Kalau betul laporan yang mengatakan ujian air kencing positif, saya yakin ianya adalah satu perangkap ke atas diri saya yang bertujuan untuk merosakkan nama baik saya,” katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Tun Razak di sini hari ini.

Rizalman menegaskan, dia datang ke pusat hiburan itu hanya untuk berhibur dan tidak ada sebarang niat untuk melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang.

“Kami ke kelab itu untuk berhibur dan hanya mengambil kopi dan minuman ringan. Tiada minuman keras mahupun dadah.

“Itu yang saya pelik bagaimana saringan awal mendapati saya positif dadah. Saya boleh katakan ini perangkap kerana tidak mengambil dadah dan ketika ditahan pun saya normal serta tidak khayal,”
ujarnya.

Isnin lalu, media melaporkan Rizalman ditahan polis dalam satu serbuan di Club de Vegas di Jalan Imbi disini dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya.

Hasil siasatan awal polis mendapati beliau dan beberapa lagi rakannya positif dadah.

Penahanan beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengejutkan banyak pihak kerana beliau sebelum itu disebut-sebut sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen Bandar Tun Razak untuk PRU-14.

Dalam pada itu, Rizalman berkata, adalah tidak adil bagi dirinya dipersalahkan kerana sehingga kini beliau belum disabitkan kesalahan dan didakwa di mahkmah.

“Kenapa disebabkan perkara yang masih tidak pasti ini menjejaskan peluang saya disenaraikan sebagai calon BN pada pilihan raya akan datang?

“Saya bersih dan telah terlibat dalam politik selama 14 tahun. Jangan kerana isu kecil ini sumbangan saya secara konsisten dilupakan,” tambahya.

Rizalman turut bertegas tidak akan meletakkan jawatan di dalam UMNO susulan kes itu dan menyerahkan segalanya kepada pucuk pimpinan parti dan Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan. – PEKIRA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *