PM yakin BN terus terajui kerajaan

Home / Terkini / PM yakin BN terus terajui kerajaan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri yakin Barisan Nasional akan terus mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) yang akan diadakan pada 9 Mei ini.

Malah, Datuk Seri Najib Razak percaya keputusan PRU kali ini lebih baik berbanding tahun 2013 yang menyaksikan kemenangan tipis bagi parti yang diterajuinya.

Menurut Najib, meskipun BN akan berdepan dengan Pakatan Harapan yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad namun beliau tidak nampak ada gerakan ke arah untuk mengubah kerajaan sedia ada.

“Kami yakin dengan keputusan yang baik. Itu tidak menyatakan bahawa kami akan menang dengan majoriti besar dan saya tidak mahu meramalkannya tetapi saya ingin mengatakan kami positif dengan keputusan (PRU),” kata Najib dalam wawancara bersama Bloomberg.

Najib berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada ‘gabungan pihak-pihak terdesak’ berada dalam kerjasama Pakatan Harapan.

Jelasnya, Dr. Mahathir, yang terkenal sebagai juara dalam hak-hak orang Melayu akan bersama-sama dengan DAP yang sememangnya mengharapkan undi Cina.

“Jadi saya memang tidak nampak bagaimana mereka boleh bekerjasama,” katanya yang meramalkan pembangkang berdepan dengan cabaran selepas Pas yang membantu mereka pada pilihan raya 2013 tidak lagi bersama Pakatan Harapan.

Perdana Menteri juga menjangkakan pengundi bandar dan Cina yang mengundi pada pilihan raya lalu dengan harapan mahu mengubah kerajaan semakin kurang motivasi.

“Hari ini, mereka tahu ia tidak mungkin, jadi saya fikir keghairahan mereka menurun,” kata Najib.

Dalam wawancara itu, Najib turut memberitahu bahawa perpaduan dalam UMNO kini lebih utuh berbanding sebelum ini.

“Saya percaya kepada pengukuhan hubungan peribadi dalam kalangan ahli-ahli parti, jadi jika dalam keadaan sukar, parti tetap bersama saya, mereka tidak tikam belakang, sokongan akar umbi kuat,” katanya.

Bercakap mengenai hubungannya dengan Dr. Mahathir, Najib mengakui hubungannya agak rapat dengan bekas perdana menteri itu.

Sehinggakan Dr Mahathir pernah mencadangkan untuk penubuhan satu majlis ‘orang-orang lama’.

“Sudah tentu anda boleh bayangkan siapa yang akan mempengerusikan majlis itu dan sebagai perdana menteri yang dilantik, saya rasa saya perlu mendapat pandangannya.

“Dia mahu saya buat apa yang dikehendakinya saya tidak mahu. Itulah puncanya. Sejak itu beliau (Dr. Mahathir) mengisytiharkan ‘perang’ terhadap saya,” ujar Najib.

Perdana Menteri sekali lagi mengulangi bahawa beliau sekali tidak akan menganggu pentadbiran bakal penggantinya kelak.

Najib mengakui beliau seorang survivor dalam kehidupan sejak berada di alam persekolahan hinggalah pembabitan awalnya dalam politik.

“Saya mungkin kelihatan sederhana tetapi saya memiliki daya tahan yang kuat dan tidak pernah putus asa dengan mudah,” katanya yang fokus terhadap hala tuju negara untuk memastikan pelan transformasi negara berjaya dilaksanakan. – PEKIRA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *