PM lancar kerja terowong MRT SSP

Home / Terkini / PM lancar kerja terowong MRT SSP

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan kerja-kerja terowong bawah tanah untuk Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di Bandar Malaysia di sini hari ini.

Najib diberi penghormatan memulakan mesin pengorek terowong besar yang akan mengorek sepanjang kira-kira 13.5 kilometer dari seksyen bawah tanah garis SSP yang mempunyai jajaran keseluruhan sejauh 52.2 kilometer.

Laluan SSP adalah yang kedua di bawah projek MRT Lembah Klang dan akan bermula dari Sungai Buloh ke Putrajaya melalui Kepong, Batu, Jalan Ipoh, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, Sungai Besi, Serdang, UPM dan Cyberjaya.

Projek tersebut akan meliputi pembinaan 35 buah stesen yang mana 11 daripadanya akan berada di bawah tanah.

Projek Talian SSP sedang dibangunkan oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) manakala MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd bertanggungjawab untuk kerja-kerja bawah tanah.

Mesin pengorek terowong yang dibuat di Jerman, mula mencipta sejarah apabila ia digunakan untuk kerja-kerja terowong untuk Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Sharil Mokhtar. – PEKIRA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *