Najib dicabar cucu Tun Ghafar Baba, pesara tentera dan kontraktor di Pekan

Home / Terkini / Najib dicabar cucu Tun Ghafar Baba, pesara tentera dan kontraktor di Pekan

PEKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertahankan kerusi Parlimen Pekan bagi penggal ke-10, berhadapan tentangan calon PKR Mohamad Zahid Mat Arip, wakil PAS Kapten (B) Ahiatudin Daud dan calon Bebas Datuk Kadir Saiinudin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Mohamad Zahid ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang juga merupakan cucu bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, Ahiatudin ialah Naib Yang Dipertua PAS Pekan sementara Kadir adalah seorang kontraktor dari Johor.

Pertandingan empat penjuru itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus pada 11.35 pagi.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum itu mengemukakan borang pencalonannya di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada 9 pagi bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak 1976.

Terdahulu, Najib tiba di bangunan UMNO Bahagian Pekan bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada 8.35 pagi dan diarak oleh kepimpinan UMNO Bahagian, didahului empat calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu.

Najib diiringi penyokong yang cukup bersemangat bersama pelbagai sepanduk dan bendera BN, dan dilihat sentiasa tersenyum sambil melambai-lambai kepada kira-kira 5,000 penyokongnya yang berdiri di sepanjang laluan ke pusat penamaan calon.

Berbaju Melayu biru tua, seragam dengan empat calon DUN BN, perdana menteri adalah yang pertama menyerahkan borang pencalonan mewakili BN.

Calon BN yang bertanding bagi kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Pekan ialah Khairuddin Mahmud bagi (Pulau Manis), Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Peramu Jaya), Mohd Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar) dan Datuk Abu Bakar Harun (Chini).

Sementara itu, calon pembangkang didahului Mohamad Zahid, tiba di pusat berkenaan pada 9.03 pagi, Ahiatudin tiba bersama penyokongnya pada pukuk 9.08 pagi dan Kadir pada 9.11 pagi.

Penyokong semua parti yang bertanding di kawasan Parlimen dan DUN tidak henti-henti melaungkan slogan parti masing-masing dan proses penamaan calon berjalan lancar tanpa ada sebarang kekecohan. – PEKIRA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *