Menara TRX Dibina Bersama MOF Inc

Home / Terkini / Menara TRX Dibina Bersama MOF Inc

KUALA LUMPUR – Minister of Finance Incorporated (MOF Inc.) mencapai persetujuan dengan The Mulia Group untuk membangunkan menara Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX) yang pembinaannya dijangka selesai pada separuh kedua tahun ini.

Menurut Kementerian Kewangan, MOF Inc. menerusi anak syarikat milik penuhnya, MKD Signature Sdn. Bhd. (MKD) mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam Mulia Property Development Sdn. Bhd. (Mulia) pada Julai 2017.

Katanya, Mulia, syarikat yang diperbadankan di Malaysia mempunyai modal saham berbayar sebanyak RM500,000 turut dimiliki secara usahasama oleh The Mulia Group yang mempunyai kepentingan 49 peratus dalam syarikat itu.

“Kos pembangunan menara TRX akan ditanggung oleh kedua-dua pemegang saham tersebut berdasarkan kedudukan saham mereka dalam syarikat usahasama itu dengan mengambil kira kos asal pembangunan.

“MKD pula telah membuat pengiraan de­ngan HSBC Bank sebagai langkah bersiap sedia untuk membiayai kos pembinaan berkadar seba­nyak 51 peratus tanpa sebarang tambahan premium dikenakan.

“Pada Mei 2015, Mulia membeli tanah TRX seluas 1.38 hektar pada harga RM665 juta daripada TRX City Sdn. Bhd. Penjualan ta­nah TRX dibuat atas terma komer­sial tanpa sebarang diskaun diberikan kepada Mulia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Secara keseluruhan, menara TRX mempunyai kawasan boleh disewakan seluas 2.8 juta kaki persegi. Apabila siap nanti, menara tersebut akan menjadi antara tiga struktur ikonik di Malaysia diikuti menara berkembar Petronas dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) 118.

Malah, menara TRX juga akan muncul bangunan ke-15 tertinggi di dunia.

Jelas Kementerian Kewa­ngan, penyertaan MOF Inc. dalam pembangunan menara TRX telah dipersetujui dan direalisasikan apabila projek itu mencapai satu tahap pembinaan tertentu.

“Ini kerana lokasi strategik menara TRX dan pembangunan ikonik yang semula jadi memberi impak yang cukup besar kepada MOF Inc. untuk terlibat dalam pembangunan ini dan menguruskan menara tersebut.

“Dengan keseluruhan kawasan pembangunan TRX dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar berjumlah RM40 bilion, adalah penting bagi MOF Inc. untuk memastikan ia menjamin satu lagi kedudukan yang strategik dalam kemajuan pembangunan TRX,” katanya.

Malah, menurut kementerian itu, kerjasama tersebut bukan kali pertama melibatkan MOF Inc. dalam pembangunan TRX memandangkan sebelum ini, MOF Inc. turut menjalin kerjasama dengan Lendlease dari Australia untuk membangunkan Lifestyle Quarter.

Katanya, pembangunan bercampur seluas 6.88 hektar itu mempunyai struktur ekuiti de­ngan 60 peratus dimiliki Lendlease manakala 40 peratus oleh MOF Inc.

“Pembangunan menara TRX yang lengkap akan menjadi pemangkin pembangunan dan pembinaan bagi plot komersial di sekitar TRX. Antara syarikat yang menyertai pembangunan tersebut termasuklah HSBC, Prudential Insurance, Affin Bank Berhad, Tabung Haji dan Lendlease.

“Mereka telah menyatakan komitmen untuk mengambil plot komersial dalam pembangunan tersebut dan rundingan masih berjalan melibatkan beberapa organisasi antarabangsa yang lain,” katanya.

Menurut kementerian berke­naan, menara TRX akan mencatat kejayaan kepada sinergi peranan Tun Razak Exchange yang meletakkan Malaysia sebagai pusat kewangan global. – PEKIRA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *