“Henti tular video lama” – Mohd Ridzuan

Home / Terkini / “Henti tular video lama” – Mohd Ridzuan

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ekonomi Rakyat (PEKIRA), Mohd Ridzuan Abdullah menyelar pihak-pihak tertentu yang menularkan kembali sebuah rakaman video lama di beberapa grup Whatsapp.

Menurutnya, rakaman yang menunjukkan beliau menyoal beberapa warga asing dalam satu pertemuan di hadapan sebuah kedutaan di ibu negara beberapa tahun lalu tidak wajar untuk ditularkan kembali.

“Rakaman itu sudah basi dan ia sebenarnya cerita lama. Perkara itu telah pun selesai dan ia tidak perlu dibangkitkan kembali.

“Untuk apa pihak-pihak tertentu terutamanya pembangkang menularkan kembali video tersebut,” katanya kepada pekira.com hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ia dijadikan bahan untuk berkempen oleh blok pembangkang kerana mereka tahu PEKIRA merupakan sebuah parti politik yang ditubuh dengan matlamat menjulang perjuangan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mendakwa, video itu sengaja ditularkan dengan niat hasad dengki ekoran parti yang mempunyai keahlian yang ramai ini terutama dalam kalangan usahawan berpihak kepada kerajaan BN dan bukannya Pakatan Harapan.

Justeru, Mohd Ridzuan menggesa agar pihak-pihak yang terlibat berhenti daripada terus menularkan video tersebut yang disifatkan sebagai satu permainan politik tidak sihat menjelang pilihan raya umum (PRU).

“Saya harap mereka berhenti daripada membuat kerja bodoh seperti ini.

“Janganlah cuba mencari publisiti murahan dengan menjadikan pihak lain sebagai kambing hitam.

“Berpolitiklah secara matang dan tidak perlu menterjebakkan orang lain dalam politik yang sempit,” tegasnya. – PEKIRA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *