Felda Dapat Semula Tanah Di Jalan Semarak

Home / Terkini / Felda Dapat Semula Tanah Di Jalan Semarak

KUALA LUMPUR – Felda berjaya memiliki kembali 16 lot tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur setelah menandatangani memorandum persefahaman dengan pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) iaitu Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB).

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjelaskan, memorandum itu ditandatangani pada 15 Januari lalu dan telah melantik sebuah jawatankuasa khas rundingan untuk membuat penambahbaikan dalam projek tersebut.

“Melalui perjanjian tersebut kita telah membincangkan tiga perkara antaranya SPSB akan mengembalikan tanah tersebut kepada Felda tanpa sebarang kos.

“Satu rundingan semula juga akan diadakan di antara Felda dan SPSB untuk menambah baik terma dan syarat pembangunan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Felda di sini hari ini.

Tambahnya, walaupun tanah tersebut telah dikembalikan kepada Felda siasatan polis akan diteruskan seperti biasa.

Kontroversi membabitkan tanah Felda berlaku apabila agensi tersebut dikatakan berisiko kehilangan tanah miliknya di Jalan Semarak menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan projek dikawasan tersebut. – PEKIRA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *