Bukan baharu mengundi hari biasa – SPR

Home / Terkini / Bukan baharu mengundi hari biasa – SPR

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pemilihan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada hari Rabu dan hari bekerja bukan sesuatu yang baru.

Ini kerana, mengikut rekod telah beberapa kali diadakan pilihan raya pada waktu bekerja iaitu pada PRU kali pertama (1959), PRU6 (1982), PRU9 (1995) dan PRU10 (1999).

Lantaran itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menyambut baik keputusan kerajaan mengisytiharkan 9 Mei nanti iaitu hari mengundi sebagai hari kelepasan am tambahan supaya rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Dengan pengumuman cuti umum ini, sewajarnya tidak dijadikan isu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Hashim menyeru serta menggalakkan pihak majikan untuk menggunakan budi bicara bagi memberikan cuti khas atau pelepasan sewajarnya kepada pekerja mereka yang dilantik petugas PRU14.

Majikan yang beroperasi pada hari mengundi dikehendaki memberi tempoh yang munasabah kepada pengundi yang bekerja untuk keluar mengundi.

Katanya, majikan yang tidak membenarkan pekerjanya keluar mengundi boleh didenda RM5,000 atau satu tahun penjara seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

SPR telah menetapkan hari pengundian bagi PRU14 pada 9 Mei.

Tarikah penamaan calon pada 28 April dan tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.

Menurutnya, tarikh awal PRU14 itu membolehkan para pengundi untuk merancang perjalanan. – PEKIRA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *