Beri mandat pada BN untuk bangunkan Sabah negeri termaju – Najib

Home / Terkini / Beri mandat pada BN untuk bangunkan Sabah negeri termaju – Najib

TAWAU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Sabah terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini bagi membolehkan agenda membangunkan Sabah sebagai antara negeri termaju dapat diteruskan.

Beliau berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara negeri termaju seiring dengan pembangunan dan transformasi yang dilakukan selama ini oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) pusat dan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dan barisannya.

“Saya sebagai perdana menteri, Insya-Allah dengan mandat penduduk Tawau (dan Sabah) akan berikan pada saya (dan BN) 9 Mei ini dapat tempoh lima tahun akan datang, saya akan meningkatkan lagi usaha memajukan negeri Sabah dan terus pacu ke hadapan dengan pelbagai perubahan demi perubahan,” katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penduduk yang hadir pada program pemimpin bersama rakyat kawasan Parlimen Kalabakan dan Parlimen Tawau di Padang Perbandaran Tawau di sini, semalam.

Turut hadir pada program itu ialah Musa, calon BN bagi kawasan Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh, calon BN bagi Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching dan calon-calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua kawasan Parlimen itu.

Najib dalam pada itu berkata, di Tawau sahaja banyak projek telah diluluskan kerajaan antaranya projek naik taraf Hospital Tawau bernilai RM300 juta.

“Satu lagi projek naik taraf jalan utara baharu di Tawau iaitu dari dua lorong kepada empat lorong (dua hala) sepanjang 5.5 kilometer akan dilaksanakan awal, tidak perlu tunggu selepas pilihan raya umum.

“Dan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pun ada bisik saya mahu peruntukan baik pulih rumah untuk penduduk di Parlimen Kalabakan tetapi saya cakap kita tunggu dulu selepas 9 Mei, kalau menang empat kosong (kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN) di Kalabakan saya akan luluskan peruntukan tambahan, begitu juga di Parlimen Tawau,” katanya.

Najib dalam pada itu mahu BN menang di semua kerusi DUN dan Parlimen di Kalabakan dan Tawau dengan penambahan undi majoriti.

“Bumi Sabah ini membiru dengan BN kerana agenda kita (BN) jelas, ke hadapan banyak yang kita hendak lakukan, bagi mandat pada BN, cita-cita impian kita akan tercapai,” katanya sambil berkata Sabah sentiasa dekat di hatinya dan menjadi agendanya untuk menyiapkan Lebuh Raya Pan Borneo tanpa tol serta membawa pelbagai projek termasuk bekalan air dan elektrik di luar bandar serta perumahan.

Menurutnya, perjuangan BN mesti diteruskan kerana agenda pembangunan negara telah disusun dengan baik.

“Kita (BN) sudah mentadbir negara kita sehinggakan tahun 2017, hasil negara bertambah, kadar pertumbuhan negara dapat dipacu kepada tahap 5.9 peratus (pada tahun lepas) antara yang tertinggi di dunia.

“Rizab negara kita kini naik 110 bilion Dolar Amerika (berbeza) tahun 1999 waktu orang berkenaan tu lah (Tun Dr Mahathir Mohamad) jadi perdana menteri rizab cumanya 20 bilion Dolar Amerika,” katanya.

Selain itu, Najib berkata hutang negara hari ini 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala pada waktu ‘orang berkenaan’ mentadbir hutang negara mencecah hingga 103 peratus.

“Siapa lebih boros, siapa lebih bertanggungjawab, sebab itu lah ‘dia’ pada hari ini sentiasa cari (salah) namun tidak dapat, dan buat bermacam cerita pula kononnya RM42 bilion duit 1MDB hilang, sedangkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC) daripada parti DAP ketika itu Dr Tan Seng Giaw buat kesimpulan setelah dikaji laporan Ketua Audit Negara bahawa perdana menteri tidak salah dalam soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Tambah Najib, kerajaan cuma memasukkan RM1 juta duit rakyat dalam 1MDB dan yang lain hanya duit pinjaman berbeza dengan isu kehilangan wang dalam urus niaga mata wang asing atau Forex semasa pentadbiran ‘orang berkenaan’ dan dalam kes itu RM31 bilion duit rakyat hilang (rugi).

“Itu benar-benar duit, itu tunai dalam bank negara bukan duit pinjaman, siapa lagi teruk, dia (Dr Mahathir) kata nak selamatkan Malaysia, nak selamatkan daripada siapa,” katanya.

Selepas isu 1MDB, Najib berkata ‘orang berkenaan’ menimbulkan lagi cerita lain kononnya wujud unsur sabotaj berkaitan penerbangannya .

“Tak masuk akal. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kata tidak ada sabotaj, syarikat kapal terbang Vista (Jet Limited) kata tak ada sabotaj dan juruterbang pun tak ada buat laporan pun tetapi dia masih kata sabotaj, ini apa dia, politik ‘membuyuk’ (kelentong) ,” katanya yang turut menasihatkan pemimpin pembangkang itu jangan menabur fitnah dan menyesat fikiran rakyat dengan cerita dongeng serta tiada asas. – PEKIRA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *